Pelajar ternak arnab dan tanam sayur cari pendapatan sampingan
Ternak arnab kini menjadi salah satu cara sekumpulan pelajar dari Kolej 14, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mencari pendapatan sampingan. Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Haiwan, Fakulti Pertanian dari Kolej 14, UPM, Muhammad Hasif Muhairi berkata, dia menjadikan usaha berkenaan sebagai platform awal mengejar cita-citanya menjadi usahawan satu hari nanti. Aktif menjual arnab hidup sejak Disember tahun lalu, Muhammad Hasif berkata, dia memilih lima ekor arnab baka New Zealand White sebagai induk untuk dibiakkan.